Wednesday, 13 June 2012

Sekolah Kebangsaan Mengabang Telipot

Sejarah Sekolah


Bermula dengan sebuah bangsal panjang yang berlantaikan tanah, berdinding dan beratap nipah, Sekolah Kebangsaan Mengabang Telipot, Kuala Terengganu terbina dari wawasan Allahyarham Ali Haji Salleh di tahun 1941 yang pada ketika itu menjadi Penghulu Mukim Batu Rakit. Memikirkan betapa perlu anak buah di bawah jagaannya di kampung Mengabang Telipot mendapat ilmu dan pendidikan ketika itu, beliau mengumpul masyarakat setempat bergotong-royong mendirikan sebuah sekolah, sekali pun hanya sebuah bangsal.

Impiannya menjadi kenyataan, setelah setahun kemudiannya sekolah yang dibina bersama penduduk kampung itu memulakan pengajiannya dengan seramai 56 orang murid, di bawah kelolaan seorang Guru Besar, Encik Sulaiman bin Ismail. Tembok ketinggian masyarakat kampung itu dalam bidang pendidikan dan ilmu pengetahuan telah dapat ditembusi. Sebagai institusi milik bersama masyarakat kampung, guru ini turut dibantu oleh Nik Ibrahim bin Long atau lebih dikenali sebagai Pak Nik Him yang menjadi ketua kampung Mengabang Telipot ketika itu.

 Dalam serba kepayahan dan kekurangan di zaman penjajahan, dengan hanya berbekalkan “papan selit” dan pensel batu, sekolah ini yang terletak kira-kira 25 kilometer dari bandar Kuala Terengganu yang boleh dianggap sebagai kawasan luar bandar, terus juga bertahan, bukan sahaja di bawah kerajaan penjajah Inggeris, tetapi juga Jepun. Pernah suatu ketika iaitu di tahun 1947, bangunan bangsal sekolah ini ranap dipukul ribut, sehinggakan murid-muridnya yang pada ketika itu lebih kurang seramai 118 orang terpaksa dipindah belajar sementara di sebuah sekolah pondok, Madrasah Al-Rahmaniah atau lebih dikenali “Pondok Ayah Chik Man”, di Kampung Pengkalan Maras, Mengabang Telipot. Sehinggalah setahun kemudiannya bangunan sekolah tersebut dipulihkan oleh pihak Pejabat Pelajaran Terengganu waktu itu.

Bermula dengan pemulihan ini, sekolah telah mula menampakkan kejayaannya dengan melahirkan tiga orang guru pelatih yang terulung iaitu Mohd. Shah bin Awang, Abd. Wahab bin Othman dan Hashim bin Mohamed.
Setahun selepas itu, pada tahun 1949, sekolah ini terus berkembang dengan kehadiran seorang tenaga pengajar lulusan Sultan Idris Training College (SITC) iaitu Wan Ibrahim bin Othman, menjadi Guru Penolong yang kemudiannya pada tahun 1953 menjadi Guru Besar.

Dari tahun ke tahun semakin ramai murid sekolah ini berjaya menjadi guru pelatih dan juga melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, Ini termasuklah Abdillah bin Yahya ke Malay College, Kuala Kangsar (MCKK) pada tahun 1949, Mohd. Shah bin Awang (1951) dan Abu Bakar bin Jusoh (1952) ke Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) dan Mohamed bin Omar ke SITC (1953). Beberapa orang lain yang berjaya menjadi guru pelatih ialah Abd. Rashid bin Ali, Omar bin Mohamed (1951), Ghazali bin Abdullah, Abdul Manan bin Ali (1952), Wan Ngah bin Long, Ab. Gawi bin Ali, Muda bin Mohamad, Ali @ Tawang bin Othman, Sha`ari bin Ali, Yusof bin Mohamad (1953), Mustaffa bin Sulong, Husain bin Mohamed (1954), Senek bt. Jusoh, Ngah bin Abdullah (1956) dan Meriam bt. Daud serta Engku Halimah bt. Pengeran Anum (1957). Ada di antara mereka ini kemudiannya menjadi pengajar di sekolah ini juga.

Awal tahun 1957, sekolah ini maju setapak lagi, bukan sahaja sebagai sekolah, tetapi juga dijadikan Kelas Guru Pelatih, manakala pada tahun 1958, sekolah ini dipecahkan kepada sekolah laki-laki dan sekolah perempuan.  Encik Wan Ibrahim bin Othman menjadi Guru Besar sekolah laki-laki yang ketika itu mempunyai seramai 418 orang murid dan Puan Wan Azizah bt. Hj. Abdullah menjadi Guru Besar Sekolah Perempuan yang mempunyai seramai 305 orang. Walau bagaimana pun tiga tahun kemudiannya iaitu pada 11.2. 1961 sekolah ini dicantumkan semula dan dijadikan dua sesi iaitu pagi dan petang.

Mungkin melihat kepada pertambahan murid yang semakin ramai dengan keadaan kelas yang tidak mencukupi, pada tahun 1966 sekolah ini dipecahkan pentadbirannya kepada dua dengan menggunakan bangunan sekolah yang sama iaitu Sekolah Kebangsaan Mengabang Telipot, SKMT 1 (pagi) dan SKMT 11 (petang). Wan Ibrahim bin Othman menjadi guru Besar SKMT 1 dan Wan Ahmad bin Ali menjadi Guru Besar SKMT 11 sehinggalah pada tahun 1973 pembahagian ini dimansuhkan. Oleh  Haji ibrahim bin Yusof telah menggantikan Wan Ibrahim bin Othman sebagai Guru Besar yang ketujuh.