Bermula dengan sebuah bangsal
panjang yang berlantaikan tanah, berdinding dan beratap nipah, Sekolah
Kebangsaan Mengabang Telipot, Kuala Terengganu terbina dari wawasan Allahyarham
Ali Haji Salleh di tahun 1941 yang pada ketika itu menjadi Penghulu Mukim Batu
Rakit. Memikirkan betapa perlu anak buah di bawah jagaannya di kampung
Mengabang Telipot mendapat ilmu dan pendidikan ketika itu, beliau mengumpul
masyarakat setempat bergotong-royong mendirikan sebuah sekolah, sekali pun hanya
sebuah bangsal.
Impiannya menjadi kenyataan,
setelah setahun kemudiannya sekolah yang dibina bersama penduduk kampung itu
memulakan pengajiannya dengan seramai 56 orang murid, di bawah kelolaan seorang
Guru Besar, Encik Sulaiman bin Ismail. Tembok ketinggian masyarakat kampung itu
dalam bidang pendidikan dan ilmu pengetahuan telah dapat ditembusi. Sebagai
institusi milik bersama masyarakat kampung, guru ini turut dibantu oleh Nik
Ibrahim bin Long atau lebih dikenali sebagai Pak Nik Him yang menjadi ketua
kampung Mengabang Telipot ketika itu.
Dalam serba kepayahan dan
kekurangan di zaman penjajahan, dengan hanya berbekalkan “papan selit” dan
pensel batu, sekolah ini yang terletak kira-kira 25 kilometer dari bandar Kuala
Terengganu yang boleh dianggap sebagai kawasan luar bandar, terus juga
bertahan, bukan sahaja di bawah kerajaan penjajah Inggeris, tetapi juga Jepun.
Pernah suatu ketika iaitu di tahun 1947, bangunan bangsal sekolah ini ranap
dipukul ribut, sehinggakan murid-muridnya yang pada ketika itu lebih kurang
seramai 118 orang terpaksa dipindah belajar sementara di sebuah sekolah pondok,
Madrasah Al-Rahmaniah atau lebih dikenali “Pondok Ayah Chik Man”, di Kampung
Pengkalan Maras, Mengabang Telipot. Sehinggalah setahun kemudiannya bangunan
sekolah tersebut dipulihkan oleh pihak Pejabat Pelajaran Terengganu waktu itu.
Bermula dengan pemulihan ini,
sekolah telah mula menampakkan kejayaannya dengan melahirkan tiga orang guru
pelatih yang terulung iaitu Mohd. Shah bin Awang, Abd. Wahab bin Othman dan
Hashim bin Mohamed.
Setahun selepas itu, pada tahun
1949, sekolah ini terus berkembang dengan kehadiran seorang tenaga pengajar
lulusan Sultan Idris Training College (SITC) iaitu Wan Ibrahim bin Othman,
menjadi Guru Penolong yang kemudiannya pada tahun 1953 menjadi Guru Besar.
Dari tahun ke tahun semakin
ramai murid sekolah ini berjaya menjadi guru pelatih dan juga melanjutkan
pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, Ini termasuklah Abdillah bin Yahya ke
Malay College, Kuala Kangsar (MCKK) pada tahun 1949, Mohd. Shah bin Awang
(1951) dan Abu Bakar bin Jusoh (1952) ke Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI)
dan Mohamed bin Omar ke SITC (1953). Beberapa orang lain yang berjaya menjadi
guru pelatih ialah Abd. Rashid bin Ali, Omar bin Mohamed (1951), Ghazali bin
Abdullah, Abdul Manan bin Ali (1952), Wan Ngah bin Long, Ab. Gawi bin Ali, Muda
bin Mohamad, Ali @ Tawang bin Othman, Sha`ari bin Ali, Yusof bin Mohamad
(1953), Mustaffa bin Sulong, Husain bin Mohamed (1954), Senek bt. Jusoh, Ngah
bin Abdullah (1956) dan Meriam bt. Daud serta Engku Halimah bt. Pengeran Anum
(1957). Ada di antara mereka ini kemudiannya menjadi pengajar di sekolah ini
juga.
Awal tahun 1957, sekolah ini
maju setapak lagi, bukan sahaja sebagai sekolah, tetapi juga dijadikan Kelas
Guru Pelatih, manakala pada tahun 1958, sekolah ini dipecahkan kepada sekolah
laki-laki dan sekolah perempuan. Encik
Wan Ibrahim bin Othman menjadi Guru Besar sekolah laki-laki yang ketika itu
mempunyai seramai 418 orang murid dan Puan Wan Azizah bt. Hj. Abdullah menjadi
Guru Besar Sekolah Perempuan yang mempunyai seramai 305 orang. Walau bagaimana
pun tiga tahun kemudiannya iaitu pada 11.2. 1961 sekolah ini dicantumkan semula
dan dijadikan dua sesi iaitu pagi dan petang.
Mungkin melihat kepada
pertambahan murid yang semakin ramai dengan keadaan kelas yang tidak mencukupi,
pada tahun 1966 sekolah ini dipecahkan pentadbirannya kepada dua dengan
menggunakan bangunan sekolah yang sama iaitu Sekolah Kebangsaan Mengabang
Telipot, SKMT 1 (pagi) dan SKMT 11 (petang). Wan Ibrahim bin Othman menjadi
guru Besar SKMT 1 dan Wan Ahmad bin Ali menjadi Guru Besar SKMT 11 sehinggalah
pada tahun 1973 pembahagian ini dimansuhkan. Oleh Haji ibrahim bin Yusof telah menggantikan Wan
Ibrahim bin Othman sebagai Guru Besar yang ketujuh.
No comments:
Post a Comment